Monday, 29 July 2013

KEPENTINGAN MENGAWAL DIABETES


Banyak penghidap kencing manis yang tidak tahu tentang kepentingan mengawal kencing manis (diabetes). Kebanyakan daripada mereka tidak endah tentang paras gula di dalam badan mereka. Tahukah anda bahawa paras gula yang terlalu tinggi boleh menyebabkan kematian (keadaan yang di namakan diabetic ketoacidosis). Lebih teruk lagi jika pesakit kencing manis itu hidup dalam keadaan yang ‘mati segan hidup tak mahu’.

Sebenarnya kepentingan mengawal kencing manis (diabetes) adalah berkait kepada dua perkara yang penting dalam kehidupan kita iaitu kualiti kehidupan dan duit.
Seseorang penghidap kencing manis tidak mempunyai fungsi metabolik yang normal terhadap pengawalan paras gula di dalam darahnya. Oleh itu, mereka perlu mengawal jumlah kemasukan gula dalam badannya melalui penjagaan pemakanan. Mereka juga perlu mengambil ubat atau insulin bagi membantu menurunkan paras gula di dalam darah mereka. Namun begitu, jika pesakit kencing manis (diabetes) ini tidak mengawal pemakanannya, jumlah kemasukan gula dalam badannya akan meningkat. Peningkatan secara konsisten ini akan menyebabkan paras gula dalam badan semakin tinggi. Lebih teruk lagi jika peghidap kencing manis ini tidak mengambil ubat.

Mengapa saya katakan yang kawalan kencing manis (diabetes) berkait rapat dengan kualiti kehidupan dan duit? Ini adalah kerana paras gula yang sentiasa tinggi dalam badan akan menyebabkan fungsi organ lain akan terjejas. Cuba bayangkan kehidupan tanpa penglihatan disebabkan buta. Ya, paras gula yang tinggi dalam badan boleh mengakibatkan seseorang itu buta. Jika buta, tentu sekali kewangan juga akan terjejas disebabkan kehilangan perkerjaan.

Cuba pula bayangkan kehidupan apabila kita perlu mengawal jumlah air yang diminum setiap hari, dan setiap dua atau tiga hari sekali perlu ke pusat dialisis untuk mencuci darah kerana buah pinggang yang sudah rosak. Tentu sekali orang ini tidak dapat pergi bercuti bersama keluarga atau ke luar negara. Lebih teruk lagi, seseorang mungkin akan kehilangan perkerjaannya disebabkan masalah yang dihadapinya. Ya, paras gula yang tinggi dalam badan boleh mengakibatkan seseorang itu mengalami kegagalan fungsi kedua-dua buah pinggangnya. Tahukah anda bahawa kos untuk dialisis menelan belanja ribuan ringgit sebulan. Jika setahun, kosnya mencecah puluhan ribu ringgit atau mungkin ratusan ribu ringgit (bergantung kepada pusat dialisis yang dikunjunginya). Ini bukan sahaja boleh menghabiskan keseluruhan simpanan, malahan boleh menyebabkan penambahan hutang.

Lebih teruk lagi, cuba bayangkan kehidupan jika seseorang itu hanya mampu membuka dan menutup matanya sahaja disebabkan oleh lumpuh (stroke) yang teruk. Kehidupan orang seperti ini memerlukan orang lain untuk menjaganya kerana dia tidak boleh makan, minum dan buang najis sendiri. Ya, paras gula yang tinggi dalam badan boleh mengakibatkan seseorang itu mengalami lumpuh. Orang ini, bukan sahaja kehilangan pekerjaan, malahan duit simpanannya perlu dihabiskan untuk membeli tiub untuk masuk makanan, makanan khas dan lampin pakai buang untuk dipakai. Orang ini juga boleh menyebabkan orang yang menjaganya juga kehilangan pekerjaan.


No comments:

Post a Comment