Wednesday, 24 July 2013

KENALI JENIS DIABETES

Mengapa penting untuk anda tahu jenis kencing manis (diabetes) anda? Supaya anda tahu bagaimana kencing manis (diabetes) itu terjadi. Dengan secara tidak langsung, anda juga tahu cara pengawalannya. Secara am, kencing manis (diabetes) terbahagi kepada empat jenis iaitu kencing manis jenis I (type I diabetes), kencing manis jenis II (type II diabetes), kencing manis semasa mengandung (gestational diabetes) dan kencing manis disebabkan penyakit lain (secondary diabetes).

KENCING MANIS JENIS I (TYPE I DIABETES)
Kencing manis jenis I (type I diabetes) adalah disebabkan oleh kegagalan fungsi pankreas untuk menghasilkan insulin. Pankreas gagal menghasilkan insulin disebabkan sel-sel dalam badannya sendiri menyerang sel pankreas (autoimmune). Apabila insulin tidak dihasilkan, glukosa tidak dapat ditukar kepada tenaga. Ini akan menyebabkan paras glukosa dalam badan menjadi tinggi. Kencing manis jenis I (type I diabetes) biasanya dikesan lebih awal iaitu diperingkat kanak-kanak atau remaja yang masih dalam alam persekolahan. Kencing manis jenis 1 (type I diabetes) memerlukan rawatan insulin dan bukannya ubat-ubatan jenis makan. Mereka lebih terdorong kepada kesan jangka masa pendek. Namun begitu, jika paras gula sentiasa tidak dikawal dengan baik, mereka juga terdedeh kepada kesan jangka masa panjang. 10% daripada pesakit yang mempunyai kencing manis di seluruh dunia, adalah dari jenis I.

KENCING MANIS JENIS II (TYPE II DIABETES)
Lebih 80% daripada pesakit yang mempunyai kencing manis adalah terdiri daripada jenis II (type II diabetes). Dalam jenis ini, kencing manis berlaku kerana sel-sel dalam badan tidak bertindak balas dengan insulin (insulin resistant), jadi glukosa dalam darah tidak dapat di tukar kepada tenaga. Ini menyebabkan paras glukosa dalam darah semakin meningkat. Kadar resistant terhadap insulin setiap pesakit kencing manis adalah berbeza. Jika kadar resistant adalah rendah, masih terdapat banyak glukosa boleh ditukar menjadi tenaga oleh sel-sel badan. Tetapi jika kadar resistant adalah tinggi, hanya sedikit glukosa dapat ditukar untuk menghasilkan tenaga. Glukosa yang tidak dapat ditukarkan kepada tenaga atau bahan simpanan lain (seperti glikogen dan trigliseride) akan berkumpul di dalam darah dan menyebabkan paras glukosa dalam darah menjadi tinggi. Kencing manis jenis II (type II diabetes) biasanya dikesan pada pertengahan umur atau apabila sudah tua. Kencing manis jenis II (type II diabetes) memerlukan rawatan ubat-ubatan jenis makan. Kadangkala mereka juga memerlukan insulin. Mereka lebih terdorong kepada kesan jangka masa panjang. Namun begitu, jika paras gula sangat tinggi, mereka juga terdedeh kepada kesan jangka masa pendek.

KENCING MANIS SEMASA MENGANDUNG (GESTATIONAL DIABETES)
Kencing manis (diabetes) ini hanya terjadi semasa mengandung. Namun begitu, ada juga wanita yang disahkan masih mempunyai kencing manis (diabetes) walaupun selepas mengandung. Adalah penting untuk seseorang wanita yang mempunyai kencing manis (diabetes) semasa mengandung, melakukan saringan kencing manis selepas 6 minggu dia melahirkan anak. Wanita yang mengalami kencing manis (diabetes) sewaktu mengandung berisiko untuk menghidapi kencing manis (diabetes) pada masa akan datang. Jadi, langkah pencegahan perlu diambil sebelum kencing manis (diabetes) ini betul-betul terjadi. Saringan awal paras gula dalam darah yang dilakukan setahun sekali boleh mengesan ketidak normalan paras gula dalam darah. Cara pengawalan kencing manis (diabetes) sewaktu mengandung adalah melalui pengawalan pemakanan dan rawatan insulin (jika paras gula masih tinggi).

KENCING MANIS DISEBABKAN PENYAKIT LAIN (SECONDARY DIABETES)
Kencing manis (diabetes) disebabkan penyakit lain adalah sangat jarang ditemui dan cara rawatannya adalah berbeza dan bergantung kepada penyakit utama yang pesakit itu hadapi. Sebagai contoh seorang pesakit yang menghadapi kanser hati mungkin akan menghadapi kencing manis jika kenser tersebut merebak ke bahagian pankreas. Jadi, cara rawatan bagi pesakit ini adalah seperti cara rawatan kanser iaitu pembedahan, chemotherapy dan radiotherapy. Pesakit ini juga mungkin memerlukan insulin jika pankreasnya tidak lagi dapat menghasilkan insulin yang normal.



No comments:

Post a Comment