Saturday 14 December 2013

BERAPA BMI ANDA? AMBIL SEMINIT UNTUK KIRA!


Ramai yang tidak mengambil berat tentang masalah kegemukan. Obesiti merupakan salah satu faktor risiko bagi penyakit diabetes. Tetapi hakikatnya bukan sahaja diabetes, malahan banyak penyakit-penyakit lain yang bersangkutan dengan obesiti. 

Kajian yang dijalankan di Semenanjung Malaysia mendapati sebanyak 33.6% penduduk di sini adalah lebih berat badan dan 19.5% adalah obese (gemuk). Ini bermakna lebih separuh daripada orang di Malaysia mempunyai berat badan yang tidak sihat!

Bagaimana anda hendak tahu samada anda obese? Mengukur berat badan sahaja tidak mampu untuk mengetahui samada anda obese kerana setiap orang mempunyai ketinggian yang berbeza. Jadi anda perlu mengira BMI (body mass index). Melalui banyak kajian, WHO (World Health Organization) telah menetapkan cut off point untuk BMI bagi orang Asia seperti di bawah:

Kurang berat badan (underweight) = <18.5
Berat badan sihat (healthy weight) = 18.5 - 23
Lebih berat badan (overweight) = 23-24.9
Kegemukan (obesity) = > 24.9 (25 ke atas)

Bagaimana mengira BMI? BMI boleh dikira dengan tiga langkah mudah seperti di bawah:

1) Ukur berat dengan menggunakan penimbang yang tepat dan betul. Ukur berat dalam unit kilogram (kg).

2) Kemudian ukur tinggi anda. Ukur tinggi dalam unit centimeter (cm) atau meter (m). Kalau anda ukur dalam unit cm, tukarkan ke unit m dengan membahagi kepada 100. Sebagai contoh:

Tinggi saya 150cm, jadi:
150cm ÷ 100 =1.5m

3) Jadi, bagaimana mengira BMI?

BMI ialah berat (kg) ÷ [tinggi (m) × tinggi (m)]

Contoh: jika berat saya 47kg dan tinggi saya 1.5m,
BMI saya adalah = 47 ÷ (1.5× 1.5)
                              = 47 ÷ 2.25
                              = 20.8 #

BMI saya adalah 20.8. Berapa BMI anda? Bagi orang yang terlalu berotot (seperti ahli bina badan) dan orang yang terlalu rendah (seperti orang kerdil dan bantut), BMI tidak sesuai digunakan untuk mengukur tahap kegemukan mereka. 

Jika anda masih tiada penyakit lebih baik anda kira BMI anda sekarang dan lakukan langkah-langkah pengurangan berat badan jika anda lebih berat badan atau obese. Tetapi jika anda adalah obese, ada baiknya anda pergi lakukan saringan kesihatan. Ada kemungkinan anda sebenarnya sudah pun ada penyakit, tetapi masih tidak dikesan lagi. 

No comments:

Post a Comment