Monday, 2 December 2013

ANAK GEMUK, salah ibubapa kah?


Baru2 ini saya sibuk selesaikan beberapa analisis untuk kajian. Hari ini adalah hari pembentangan hasil kajian. Ini adalah salah satu daripada hasil kajian yang dibentangkan di sini. Kajian ini dijalankan di kalangan pelajar tingkatan 1 di KL, Selangor dan Perak. Lebih kurang 16.1% pelajar yang menyertai kajian ini didapati mempunyai berat badan yang berlebihan. Manakala 8.7% pula adalah berada pada tahap kegemukan (obese).
Saya memandang serius masalah ini kerana kegemukan merupakan salah satu risiko untuk mendapatkan kencing manis (diabetes). Jika masa remaja lagi sudah gemuk tidak mustahil mereka boleh memiliki pelbagai penyakit di usia yang muda. Jika kita lihat, selalunya masalah kegemukan terjadi bukan sahaja pada satu individu dalam keluarga. Kebanyakannya terjadi pada semua atau kebanyakan ahli dalam keluarga. Ramai yang menganggap masalah kegemukan ini disebabkan keturunan.
Mengikut kajian, kegemukan disebabkan masalah kesihatan lain atau genetik hanya menyumbang kepada lebih kurang 5% sahaja daripada keseluruhan orang yang gemuk. Ini bermakna, 95% daripada orang yang gemuk adalah sebab memang makan makanan yang tidak sihat dan tidak bersenam atau mengamalkan gaya hidup yang aktif.
Betul ke ini? Cuba ingat bila kali terakhir kita makan makanan segera (fast food)? Bila kali terakhir kita pergi taman untuk berjogging atau pergi padang untuk bermain bola? Adakah kita selalu masak burger dan goreng nugget untuk anak kita? Adakah kita selalu malas nak masak lalu mengajak satu keluarga pergi makan pizza atau mcd? Dan bila kali terakhir kita ajak keluarga kita pergi bersenam bersama? Biasa kat rumah kita ada hidangkan buah untuk keluarga? Bagaimana dengan sayur? Betul ke kebanyakan kita lebih gembira melihat anak bermain Ipad di rumah berbanding melihat anak bermain bola di padang?
Jadi adakah gaya hidup tidak sihat yang anak2 kita amalkan disebabkan faktor kesibukan kita yang sering mengambil ringan tentang kesihatan dan mengambil jalan mudah dengan membekalkan mereka makanan segera dan tidak memupuk semangat kesukanan kepada mereka sejak kecil? Sejak kecil anak2 diajar memakan pelbagai makanan tanpa perlu berfikir apakah pilihan itu sihat untuk mereka. Buah atau ice cream? Sudah tentu anak2 memilih ice cream. Tetapi jika kita biasa amalkan sejak kecil yang mereka perlu makan buah paling kurang sehari sekali, dan makan ice cream hanya sekali dalam dua minggu, mereka akan jadikan ini tabiat mereka apabila dewasa. Cuba ingat kembali cara pemakanan yang diajar kepada kita oleh ibubapa kita dulu? Adakah ianya mempengaruhi tabiat pemakanan kita sekarang? Adakah ianya menyumbang kepada cara kita menyediakan makanan kepada anak2 kita sekarang? Mungkin sudah tiba masa kita ubah tabiat dan cara kita mendidik anak2 kita. Sebagai ibubapa sudah tentu kita tidak mahu mereka mendapat penyakit pada usia muda. Tetapi percayalah, memiliki penyakit pada usia muda sudah menjadi perkara biasa hari ini. Jadi, buatlah pilihan yang bijak. Apa yang kita buat hari ini akan menetukan masa depan anak2 kita.

No comments:

Post a Comment