Tuesday, 16 July 2013

PENGENALAN KEPADA DIABETES

Apa itu kencing manis (diabetes) ?
Kencing manis juga dikenali sebagai diabetes. Kencing manis atau diabetes adalah penyakit di mana glukosa dalam darah tinggi akibat fungsi metabolik yang tidak normal. Kencing manis (diabetes) adalah penyakit kronik kerana tiada penawar untuk mengubati penyakit kencing manis (diabetes). Pesakit kencing manis hanya boleh mengawal gula dalam darah agar berada di paras normal. Mengawal paras gula dalam darah adalah penting bagi mengelakkan komplikasi.

Apa itu glukosa? 
Glukosa adalah gula yang terdapat di dalam darah. Makanan yang dimakan setiap hari akan dicernakan menjadi molekul/unit terkecil sebelum diserap masuk ke dalam darah. Makanan yang mengandungi kanji (seperti nasi dan mi) dan gula (seperti buah) akan dicerna di usus untuk menjadi glukosa. Glukosa di dalam usus akan diserap ke dalam darah. Glukosa di dalam darah akan ditukarkan menjadi tenaga dengan bantuan insulin. Lebihan glukosa yang tidak ditukarkan sebagai tenaga, akan disimpan di dalam hati sebagai glikogen. Proses penukaran glukosa kepada glikogen juga memerlukan insulin. Seseorang yang makan terlalu banyak makanan berkanji atau bergula akan mempunyai paras glukosa yang tinggi dalam darah.

Apa itu insulin? 
Insulin dihasilkan oleh pankreas. Insulin diperlukan oleh sel-sel dalam badan manusia untuk menghasilkan tenaga. Selepas makan, paras glukosa dalam darah akan meningkat. Paras glukosa yang tinggi menyebabkan insulin dibebaskan oleh pankreas ke dalam darah. Sel-sel yang terdapat dalam badan manusia akan bertindakbalas terhadap insulin dan menukarkan glukosa kepada tenaga. Kencing manis terjadi adalah disebabkan oleh kekebalan sel terhadap tindakan insulin atau kekurangan insulin.

Bagaimana seseorang mendapat penyakit kencing manis (diabetes)? 
Kencing manis (diabetes) berlaku kerana sel-sel dalam badan tidak bertindak balas dengan insulin (insulin resistant), jadi glukosa dalam darah tidak dapat di tukar kepada tenaga. Ini menyebabkan paras glukosa dalam darah semakin meningkat. Kadar resistant terhadap insulin setiap pesakit kencing manis adalah berbeza. Jika kadar resistant adalah rendah, masih terdapat banyak glukosa boleh ditukar menjadi tenaga oleh sel-sel badan. Tetapi jika kadar resistant adalah tinggi, hanya sedikit glukosa dapat ditukar untuk menghasilkan tenaga. Glukosa yang tidak dapat ditukarkan kepada tenaga atau bahan simpanan lain (seperti glikogen dan trigliseride) akan berkumpul di dalam darah dan menyebabkan paras glukosa dalam darah menjadi tinggi. 80% penghidap kencing manis mempunyai resistant terhadap tindakbalas insulin. 10% daripada penghidap kencing manis mengalami kegagalan fungsi pankreas untuk menghasilkan insulin. Apabila insulin tidak dihasilkan, glukosa tidak dapat ditukarkan kepada tenaga. Ini akan menyebabkan paras glukosa dalam badan menjadi tinggi.

3 comments:

  1. ade kemungkinan x kite akn dpt diabetes(keturunan) wlpn mengawal pengambiln gula?

    ReplyDelete
  2. Masih ada kemungkinan tersebut. Jika hanya seorang daripada ahli keluarga (samada ibu atau ayah atau adik-beradik) yang kena diabetes, hanya 10% kemungkinan kita akan dapat diabetes. Mengawal pengambilan gula, karbohidrat mungkin boleh membantu bagi mengurangkan kemungkinan kita juga kena diabetes. Tetapi, jika kedua-dua ibu bapa ada diabetes, kemungkinan anak-anaknya akan dapat diabetes adalah 90%. Dalam kes ini, pengawalan makanan sahaja tidak mencukupi. Anak-anak tersebut perlu bersenam dan mengurangkan berat badan di samping kerap melakukan saringan diabetes di peringkat awal.

    ReplyDelete
  3. Kenapa pankreas gagal menghasilkan insulin? Apa faktornya?

    ReplyDelete